ad

562 lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan digantung

7 Okt 2025, 4:45 AM
562 lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan digantung

SHAH ALAM, 7 OKT: Sebanyak 562 lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan digantung selepas gagal mematuhi Audit keselamatan jalan (JISA) dalam tempoh tertentu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata 665 tindakan penguatkuasaan diambil terhadap syarikat berkenaan sejak pelaksanaan audit keselamatan diperhebatkan tahun lalu.

“Sebanyak 56 permit kenderaan turut digantung dan 24 amaran dikeluarkan kepada pihak terbabit. Jadi jumlah keseluruhan tindakan setakat ini adalah 665 dan kita akan terus memperhebatkan tindakan ini.

“Manakala 11 lesen pengendali dan 12 permit kenderaan dibatalkan sejak 2019 hingga Ogos 2025, tindakan yang biasa kita lakukan apabila mereka gagal dalam audit JISA ialah digantung lesen pengendali selama satu tempoh,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (HARAPAN-Mas Gading) mengenai jumlah syarikat gagal audit keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan apakah tindakan diambil terhadap syarikat di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony menambah JPJ melaksanakan 7,228 audit Jisah di seluruh negara meliputi pelbagai kategori operasi setakat 31 Ogos 2025.

“Berdasarkan rekod sehingga 30 April 2025, jumlah syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang berdaftar adalah 48,002, bukannya 300,000 seperti didakwa sesetengah pihak.

“Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada perbezaan antara bilangan syarikat pengendali dengan jumlah keseluruhan kenderaan perdagangan berlesen, iaitu sebanyak 372,586 kenderaan (bas dan lori) di bawah kawal selia Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” ujarnya lagi.