Perumahan usang lebih 50 tahun akan dipulihkan, LPHS terajui penyelarasan - MB

2 Dis 2025, 8:33 AM
Perumahan usang lebih 50 tahun akan dipulihkan, LPHS terajui penyelarasan - MB
Perumahan usang lebih 50 tahun akan dipulihkan, LPHS terajui penyelarasan - MB
Perumahan usang lebih 50 tahun akan dipulihkan, LPHS terajui penyelarasan - MB

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Selangor merancang memulihkan semula kawasan perumahan usang berusia lebih 50 tahun di seluruh negeri sebagai sebahagian usaha menaik taraf kejiranan lama dan memperkukuh pembangunan bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan menjadi agensi utama yang menyelaras pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Ini juga antara cabaran yang akan kita laksanakan. Ia belum lagi dilaksanakan tetapi kita akan mula merencana untuk tahun hadapan, mungkin pada 2027 atau 2028. Jika berjaya direalisasikan, ia akan menjadikan negeri kita lebih baik.

“Ini saya akan serahkan kepada sebuah anak syarikat untuk ditangani. Kita akan minta LPHS dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) menanganinya… mungkin setiap PBT (urus) satu atau dua (perumahan usang).

“Kita tidak mahu semua PBT kita apabila dinaik taraf seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan mungkin selepas ini Ampang atau Hulu Selangor menjadi bandar raya… tetapi masih lagi mewarisi perumahan usang berusia lebih 50, 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri EXCO Perumahan, Dato’ Borhan Aman Shah.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan bantuan Projek Skim Ceria kepada wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) di Hotel De Palma, Shah Alam pada 2 Disember 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirudin, usaha menaik taraf perumahan usang memerlukan komitmen bersama, dan perkara itu turut menjadi keutamaan EXCO Perumahan.

“Insya-Allah, kita akan cuba meneliti dan memahami dengan lebih jitu… tidak hanya tumpu pada satu polisi semata-mata. Sekali lagi, kita harap wujudnya kerjasama erat dengan penduduk.

“Kerajaan buat macam-macam antaranya bersihkan kawasan, tukar lif, baik pulih bangunan, tapi kalau komuniti tak jaga, tempat itu jatuh semula. Ini realiti yang berlaku di beberapa lokasi,” tegasnya.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Amirudin berkata sembilan badan pengurusan bersama (JMB) menerima Bantuan Projek Skim Ceria 2025 melibatkan kos keseluruhan hampir RM4 juta.

“Peruntukan ini melibatkan sembilan projek dan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 petak pangsapuri serta lebih 9,000 penghuni di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Projek ini membabitkan pelbagai kerja naik taraf antaranya penggantian tangki air, paip dan motor, lif, bumbung dan lapisan kalis air,” katanya.

Projek terbabit meliputi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), MBDK, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).