Alexander Nanta jalan tugas, fungsi Menteri KUSKOP mulai esok

2 Dis 2025, 6:43 AM
Alexander Nanta jalan tugas, fungsi Menteri KUSKOP mulai esok

SHAH ALAM, 2 DIS: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata keputusan itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri kepada Jemaah Menteri yang bersidang pada Jumaat lalu.

Alexander Nanta yang juga Menteri Kerja Raya akan memikul tanggungjawab tambahan tersebut bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran fungsi kementerian.

Kerajaan dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang, atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang beliau menerajui KUSKOP.

Sementara itu, Alexander Nanta dalam kenyataan berasingan menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri atas kepercayaan memberikan saya tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkuat kuasa 3 Disember 2025.

“Di samping menjalankan tugas di portfolio sebagai Menteri Kerja Raya, pelantikan ini akan saya galas dengan penuh komitmen bagi memastikan kesinambungan operasi serta kelancaran fungsi KUSKOP,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan Ewon Benedick sepanjang menerajui kementerian itu.

“Saya komited untuk memastikan kerja-kerja kementerian berjalan dengan teratur dan dasar yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi manfaat usahawan, PKS, koperasi dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Alexander Nanta juga berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua agensi, rakan industri dan pemegang taruh bagi memastikan kelancaran pentadbiran KUSKOP sepanjang tempoh beliau menjalankan tugas tersebut.