KUALA LUMPUR, 19 DIS: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember sempena sambutan Hari Krismas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemberian diskaun tol itu selaras dengan semangat perpaduan Malaysia MADANI serta bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat.
Menurut beliau, diskaun berkenaan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol lebuh raya bertol di seluruh negara.
"Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada plaza tol di pintu masuk sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kerajaan, katanya, akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat susulan pemberian diskaun tol berkenaan.
"Diharap langkah ini dapat meringankan sebahagian kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga sempena musim cuti sekolah dan perayaan," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata pemilihan tarikh tersebut juga bertujuan membantu penyuraian trafik sempena musim perayaan, khususnya pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali ke bandar.
"Ia turut membolehkan pengoperasian lebuh raya, kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dioptimumkan bagi keselesaan pengguna," katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menggalakkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi TuJU Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA, selain mematuhi cadangan masa perjalanan (Travel Time Advisory, TTA) yang disyorkan.
Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda serta peraturan jalan raya sepanjang menggunakan lebuh raya.


