SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 55.7 peratus kanak-kanak menggunakan internet selama satu hingga empat jam sehari tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin, mendedahkan 60.7 peratus kanak-kanak memiliki peranti sendiri.
Dapatan itu diperoleh hasil libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), lapor Berita Harian.
Pada sesi penerangan berkaitan Penyata Jawatankuasa Berhubung Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak di Dewan Rakyat hari ini, beliau mendedahkan penggunaan internet berlebihan dalam kalangan kanak-kanak membawa beberapa gejala membimbangkan.
Gejala itu termasuk gangguan permainan internet (IGD), gangguan kebimbangan social (SAD), masalah kesihatan mental serta ketagihan dan kesalahan seksual.
"Menurut satu kajian, antara 5,290 remaja di tujuh negeri di Malaysia, sebanyak 3.5 peratus didiagnosis mengalami IGD. Dengan kata lain, 315,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami IGD.
"IGD ditakrifkan sebagai gaming yang berterusan dan berulang sehingga mengakibatkan kemerosotan yang ketara. IGD dikait rapat dengan kecenderungan impulsive terutama impulsif motor dan daya tumpuan yang singkat.
"Dari segi impak kesihatan mental, daripada remaja yang mengalami IGD, 48.1 peratus mengalami kebimbangan seirus, 37.4 peratus mengalami kemurungan serius dan 18.2 peratus mengalami tekanan serius,
"IGD juga dikaitkan secara signifikan dengan SAD iaitu kebimbangan sosial dan pengelakkan interaksi social. IGD dan SAD secara keseluruhannya akan menjejaskan pembangunan kanak-kanak," katanya.
Berdasarkan dapatan utama diperolehi, Bee Yin mendedahkan hampir separuh kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
Daripada kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak, beliau berkata 68.1 peratus adalah kes suka sama suka di mana kedua-dua pihak berumur 16 tahun ke Bawah dan bersetuju mengadakan hubungan seks.
"Jawatankuasa juga mendapati hampir 90 peratus daripada remaja yang melakukan hubungan seksual berulang kali berpunca daripada pendedahan awal kepada pornografi, media social dan bahan lucah digital.
"Sebanyak 30 peratus kes kesalahan seksual kanak-kanak yang ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Akhlak berpunca daripada tiada kawalan terhadap penggunaan gajet," katanya


