Guru kini perlu ‘bersaing’ dengan TikTok dalam kelas

16 Mei 2026, 3:42 AM
Guru kini perlu ‘bersaing’ dengan TikTok dalam kelas

SHAH ALAM, 16 MEI: Guru masa kini perlu lebih kreatif dalam menarik perhatian pelajar generasi Alfa yang membesar dengan media sosial, internet dan teknologi digital.

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shireena Basree Abdul Rahman berkata generasi Alfa, iaitu golongan yang lahir antara tahun 2010 hingga 2024, lebih cenderung kepada pembelajaran visual, pantas dan interaktif sehingga menyebabkan guru kini seolah-olah ‘bersaing’ dengan platform seperti TikTok di dalam kelas.

Menurutnya, budaya media sosial yang pantas turut mempengaruhi tempoh fokus pelajar sekali gus menjadi cabaran baharu kepada guru.

Beliau berkata kaedah pengajaran yang terlalu panjang dan bersifat sehala menyebabkan pelajar mudah hilang fokus serta cepat bosan.

“Contohnya TikTok, semua kandungan videonya cepat dan ringkas, jadi ia memberi cabaran kepada guru untuk turut sama mengikut rentak itu.

“Kalau cara pengajaran terlalu meleret, pelajar mula tengok sana-sini dan hilang fokus. Di situ ada yang mula rasa bosan,” katanya dalam Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Tambah beliau, guru perlu menggabungkan teknologi dan elemen interaktif dalam pengajaran bagi memastikan pembelajaran kekal relevan serta menarik minat pelajar.

“Dalam kelas sekarang memang perlu ada elemen teknologi untuk menarik perhatian pelajar. Cara lama sahaja sudah tidak mencukupi,” ujarnya.

Pengacara Aida Nyan bersama Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shireena Basree Abdul Rahman dalam program Bicara Semasa yang bertajuk Cikgu vs Gajet: Realiti Generasi Alfa pada 15 Mei 2026

Pendidikan masih perlukan sentuhan manusia

Bagaimanapun, Dr Shireena berkata proses pembelajaran tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi kerana pendidikan masih memerlukan komunikasi dan sentuhan manusia.

Katanya, kaedah pengajaran tradisional seperti 'chalk and talk' masih relevan jika disesuaikan dengan perkembangan semasa serta digabungkan dengan pendekatan lebih interaktif.

Menurutnya, pendekatan tradisional masih berkesan sekiranya disulamkan dengan penggunaan video, persoalan dan aktiviti interaktif.

“Pendidikan tetap perlukan sentuhan manusia. Perlu ada guru yang bercakap dan berinteraksi dengan pelajar.

“Kalau cara mengajar itu disulamkan dengan persoalan, video dan elemen interaktif, saya rasa cara lama itu masih relevan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak menjadikan gajet sebagai alat untuk mendiamkan anak-anak kerana penggunaan peranti secara berlebihan tanpa pemantauan boleh menjejaskan komunikasi serta perkembangan emosi mereka.

Tegasnya, ibu bapa perlu mengawal penggunaan gajet sejak kecil menerusi peraturan dan pemantauan konsisten bagi memastikan teknologi digunakan secara sihat dan seimbang.

“Kadang-kadang ibu bapa bagi gajet supaya anak diam, sedangkan waktu bersama keluarga itulah masa untuk bercakap dan meluangkan masa dengan anak-anak. Itu lebih baik,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.