RM2 bilion lonjak kesalinghubungan digital Sabah, 800 lokasi terima liputan internet

18 Nov 2025, 12:12 PM
RM2 bilion lonjak kesalinghubungan digital Sabah, 800 lokasi terima liputan internet

SHAH ALAM, 18 NOV: Peruntukan lebih RM2 bilion bagi meningkatkan kesalinghubungan digitalisasi di Sabah akan merangkumi beberapa inisiatif utama termasuk pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pelan melibatkan belanja RM1.4 bilion itu berupaya meluaskan rangkaian internet sehingga 800 lokasi terutama ke kawasan pedalaman dan kepulauan Sabah.

Jelas agensi itu, peruntukan ini merangkumi kos pembangunan serta kos operasi bagi tempoh lima tahun dan ia dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah selain kawasan berpenduduk mencapai liputan 100 peratus.

“Selain itu SKMM turut melaksanakan pembangunan infrastruktur digital bernilai lebih RM300 juta melibatkan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Pembangunan ini merangkumi aspek perluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam, pemasangan ‘smart poles’ berintegrasi 4G dan 5G, serta sistem CCTV pintar yang berhubung terus ke pusat operasi bandar pintar sekali gus memudahkan penduduk mendapat rangkaian internet,” katanya menerusi kenyataan.

SKMM memaklumkan kerajaan juga sedang melaksana projek Fiber-to-the-Home (FTTH), yang menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota di kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar Sabah.

“Sembilan kem tentera di Sabah telah menerima manfaat inisiatif ini, melibatkan kira-kira 6,900 kediaman dengan jumlah kos RM14.2 juta.

“Sehingga September lalu, 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) beroperasi di seluruh Sabah dengan kos kira-kira RM210 juta untuk lima tahun.

"NADI memastikan penduduk termasuk di kawasan pedalaman mempunyai peluang setara untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memperuntuk RM2 bilion melalui SKMM bagi memperluas liputan internet di Sabah, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan digital di negeri itu.

Jelasnya dana tersebut akan memberi keutamaan kepada kolej, universiti awam dan swasta serta pejabat kerajaan. Anwar mengakui inisiatif itu memerlukan masa untuk dilaksanakan, namun menegaskan komitmen kerajaan terhadap akses Internet yang lebih baik.