Banjir: Skuad Pantas MPKL terus pantau kawasan terjejas Kuala Langat

2 Dis 2025, 4:40 AM
Banjir: Skuad Pantas MPKL terus pantau kawasan terjejas Kuala Langat
Banjir: Skuad Pantas MPKL terus pantau kawasan terjejas Kuala Langat
Banjir: Skuad Pantas MPKL terus pantau kawasan terjejas Kuala Langat

SHAH ALAM, 2 DIS: Susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Kuala Langat pada 29 November, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) terus memantau situasi dan memastikan keselamatan penduduk.

Skuad Pantas MPKL menjalankan operasi pemantauan sejak pagi di kawasan terjejas termasuk Taman Zinnia, Taman Plumeria, Taman Seri Jaromas, Taman Rosa, Jalan Utama 2 Kawasan Perniagaan, Taman Sejahtera, Kampung Labohan Dagang, Kampung Orang Asal Bukit Tadom dan Kampung Bukit Changgang.

MPKL menerusi kenyataan berkata, pasukan diketuai Norhisham Othman bersama dua anggota menggunakan sebuah kenderaan Isuzu DMax Pantas. Pemantauan mendapati beberapa kawasan seperti Taman Seri Jaromas dan Taman Sejahtera masih digenangi air, termasuk di kawasan perniagaan.

"Hasil pemantauan mendapati beberapa kawasan termasuk Taman Seri Jaromas dan Taman Sejahtera masih digenangi air termasuk di kawasan perniagaan.

"PPS Kg. Labohan Dagang mencatatkan peningkatan bilangan mangsa daripada tujuh keluarga (24 mangsa) pada 28 November kepada 12 keluarga (49 mangsa) pada 29 November.

"PPS Kampung Orang Asal Bukit Tadom kekal menempatkan 22 keluarga (68 mangsa). PPS Bukit Changgang diaktifkan bagi menempatkan dua keluarga (16 mangsa) susulan keadaan air yang menjejaskan penduduk," katanya di Facebook.

Operasi pemantauan Skuad Pantas MPKL ditamatkan jam 5 petang pada 29 November, namun pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk kekal menjadi keutamaan.