Selangor kekal penyumbang ekonomi terbesar negara, Petaling catat nilai tertinggi

2 Dis 2025, 4:15 AM
Selangor kekal penyumbang ekonomi terbesar negara, Petaling catat nilai tertinggi

SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan nilai ditambah berjumlah RM417.6 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat aktiviti ekonomi berintensif tinggi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan Banci Ekonomi 2023 merekodkan sebanyak 270,363 pertumbuhan beroperasi di Selangor pada 2022, melibatkan seramai 2,679,675 pekerja.

Menurut beliau, daerah Petaling muncul sebagai penyumbang utama ekonomi negeri dengan nilai ditambah sebanyak RM224 bilion, diikuti Klang (RM89.3 bilion), Gombak (RM32.2 bilion), Hulu Langat (RM28.7 bilion) dan Sepang (RM18.6 bilion).

“Sektor perkhidmatan menjadi teras pertumbuhan dan pembangunan Petaling malah sektor berkenaan dan pembinaan turut memperkukuh struktur ekonomi daerah melalui penciptaan pekerjaan dan peluasan kapasiti perusahaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir turut menjelaskan Selangor terus mendahului negeri lain, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM301.8 bilion), Sarawak (RM165.4 bilion) dan Johor (RM129.4 bilion) yang turut menyumbang signifikan kepada struktur ekonomi negara.

Beliau berkata analisis ekonomi pada peringkat daerah memberikan gambaran lebih jelas mengenai kekuatan ekonomi mengikut geografi, seterusnya membantu pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan merancang pembangunan yang lebih tepat.

“Keupayaan meneliti data sehingga ke peringkat daerah pentadbiran membolehkan perancangan pembangunan dibuat dengan lebih tepat dan responsif malah pentadbiran daerah dapat memacu aktiviti ekonomi negeri masing-masing.

“Maklumat ini membolehkan pihak berkepentingan memahami kekuatan ekonomi setiap daerah, mengenal pasti sektor tumpuan, serta merancang strategi pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif,” katanya.

Pada Julai lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan Selangor terus kukuh sebagai hab perindustrian dan perkhidmatan utama negara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada tahun lalu.

Selangor mencatatkan KDNK berjumlah RM432.1 bilion pada tahun lalu, menyumbang 26.2 peratus kepada KDNK nasional.

DOSM juga merekodkan ekonomi negara berkembang 5.1 peratus pada tahun lalu, meningkat daripada 3.5 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah keseluruhan berjumlah RM1.65 trilion.