SHAH ALAM, 11 NOV: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang meneliti kira-kira 300,000 pertubuhan perniagaan berdaftar di Selangor bagi mengenal pasti status dan tahap keaktifan setiap syarikat menjelang pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kerjasama rapat dengan agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang diperkukuh bagi memastikan semua perniagaan yang berdaftar benar-benar beroperasi.
Menurutnya, langkah itu penting bagi menjamin pelaksanaan BE2026 berjalan lancar dan menghasilkan dapatan yang tepat.
“Sesi libat urus ini bagi memaklumkan kepada industri supaya mereka memberi kerjasama yang baik kepada pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 ini.
"Selangor menyumbang hampir 26 peratus kepada ekonomi negara. Kita mahu dapatan banci ekonomi di negeri ini dapat membantu merancakkan lagi ekonomi dari pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus BE2026 bersama pemegang taruh Selangor, di sini, hari ini.
Mohd Uzir menjelaskan pelaksanaan BE2026 di seluruh negara akan bermula Februari tahun depan.
Tambahnya, data dikumpul DOSM sentiasa menepati realiti ekonomi negara hasil pengalaman lebih tujuh dekad dalam bidang statistik.
“Selama 77 tahun melaksanakan tugas statistik, dengan adanya data yang dikumpul membolehkan kita menguruskan negara ini dengan baik.
"Ketepatan data DOSM terbukti apabila jabatan itu mampu menghasilkan angka yang hampir menyamai realiti sebenar sehingga ke peringkat daerah," katanya.
Sementara itu, EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi menegaskan kepentingan data yang dikeluarkan DOSM dalam proses perancangan negeri.
“Data yang dikeluarkan DOSM penting dalam membantu Kerajaan Selangor merangka dasar dan pembangunan dengan lebih tepat serta mampan,” katanya.




