SHAH ALAM, 1 DIS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan enam kompaun terhadap dua premis perindustrian di Taman Perindustrian Pulau Indah susulan aduan orang awam mengenai pencemaran bau di kawasan berkenaan.
Menurut MBDK, operasi penguatkuasaan itu dijalankan bagi memastikan semua kilang mematuhi peraturan serta tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat.
"Sebuah kilang memproses logam tidak berlesen dikenakan empat kompaun di bawah UUK 3 (MPK) 2007, satu kompaun mengikut Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan 1976 oleh Jabatan Kesihatan, dan satu kompaun di bawah UUK 3(1) UUK Hotel (MPK) 2013.
"Sementara itu, pemeriksaan terhadap sebuah kilang baja selepas aduan bau mendapati premis berkenaan hanya memiliki lesen menyimpan dan memborong. Premis itu turut dikenakan kompaun di bawah UUK 3 PTPP (MPK) 2007," katanya di Facebook.
MBDK berkata operasi bersepadu akan diteruskan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang di kawasan perindustrian sentiasa terjaga dan tiada premis beroperasi tanpa mengikuti peraturan majlis.



