SHAH ALAM, 1 DIS: Pemandu lori ditahan polis selepas memandu melawan arus sejauh hampir 150 kilometer dari Plaza Tol Bukit Beruntung hingga Plaza Tol Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ibrahim Husin berkata kejadian 5.35 pagi itu berlaku apabila lori jenis Mitsubishi Fuso terbabit enggan berhenti meskipun diarahkan anggota peronda.
Menurutnya, suspek memasuki Lebuhraya Utara Selatan (Plus) melalui Plaza Tol Bukit Beruntung sebelum memecut melawan arus ke arah Kuala Lumpur dan berpatah semula ke lokasi sama sebaik tiba di Plaza Tol Sungai Buloh.
“Suspek bukan sahaja memandu secara melulu, malah turut cuba melanggar kenderaan peronda polis yang berusaha memberhentikannya berhampiran Plaza Tol Bukit Beruntung,” katanya dalam kenyataan.
Polis menahan lelaki itu di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dan menahan lori yang digunakan dalam cubaan melarikan diri itu.
Siasatan awal mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah selain didapati positif syabu menerusi ujian air kencing.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu pagi ini bagi permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.


