SHAH ALAM, 1 DIS: Plaza Alam Sentral ditutup sementara sehingga suku keempat tahun hadapan bagi memberi kerja pengubahsuaian dan naik taraf menyeluruh bangunan berkenaan.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memaklumkan, penutupan yang bermula pada November lalu adalah sebahagian daripada perancangan pembangunan SA Sentral.
“SA Sentral merupakan inisiatif strategik PKNS untuk menaik taraf bangunan di sekitar pusat Bandaraya Shah Alam, khususnya di Seksyen 14, sekaligus menjadikannya hab bandar moden yang lebih dinamik dan berdaya saing.
“Susulan kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dijalankan, PKNS mengambil tindakan sewajarnya berhubung proses penamatan sewaan, selaras dengan undang-undang dan sepenuhnya mengikut terma yang termaktub dalam perjanjian sewaan,” katanya dalam kenyataan.
PKNS menambah, pusat beli-belah itu bakal tampil dengan wajah baharu yang lebih moden, selesa dan menarik, selain bersedia menjadi tumpuan utama bukan sahaja warga Shah Alam, malah seluruh Lembah Klang.
Untuk rekod, SA Sentral merupakan projek pembangunan bercampur PKNS dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion yang dilaksanakan secara berperingkat.
Projek ini dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan dan akan mengubah landskap bandar Shah Alam dengan reka bentuk inovatif, amalan lestari, serta ciri bandar pintar dan rendah karbon.
Berkeluasan 145 ekar, selain Plaza Alam Sentral, projek SA Sentral turut melibatkan komponen pembangunan Plaza Perangsang, SACC Mall, Aneka Walk, Kompleks PKNS Shah Alam, serta beberapa kawasan lain di Seksyen 14.


