SHAH ALAM, 29 NOV: Tiga sungai di dua daerah di Selangor masih merekodkan paras air melepasi tahap bahaya setakat jam 10.45 malam ini.
Menurut laman info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai yang berada pada paras bahaya ialah Sungai Sembilang di Pintu Air Ijok (4.09m), Sungai Langat di Bukit Changgang (4.43m) dan Sungai Selangor di Kampung Asahan (3.68m).
Sementara itu, Sungai Bernam di Jambatan SKC direkodkan pada paras amaran dengan bacaan 18.64m.
Tiga sungai pula berada pada tahap waspada iaitu Sungai Klang di Pekan Meru (3.97m), Sungai Buloh di Parit Mahang (3.98m) dan Sungai Selangor di Rantau Panjang (6.98m).
Dalam pada itu, Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 3,503 mangsa banjir daripada 1,012 keluarga ditempatkan di 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan lima daerah.
Kuala Selangor merekodkan 15 PPS dibuka menempatkan 2,356 mangsa, diikuti Sepang sembilan PPS (847 mangsa), Sabak Bernam tiga PPS (174 mangsa), Kuala Langat lima PPS (110 mangsa) dan Klang sebuah PPS menempatkan 16 mangsa.






