KUALA LANGAT, 29 NOV: Kawasan penempatan semula komuniti Orang Asli di Bukit Baja, Dengkil bakal diwartakan sebagai penempatan rasmi, sekali gus memastikan hak komuniti tersebut diiktiraf dan kemudahan asas disediakan secara terancang.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata kawasan berkenaan akan dibangunkan sebagai Kampung Orang Asli moden yang boleh dimanfaatkan sebagai destinasi pelancongan warisan dan menjana ekonomi komuniti.

“Insya-Allah, esok saya akan menyelesaikan isu pendudukan Bukit Baja dan mereka akan menerima imbuhan.
”Di situ akan dibangunkan kawasan penempatan semula dengan pewartaan tanah seluas 180 ekar yang menjadi hak milik Orang Asli dan tidak boleh diganggu,” katanya ketika merasmikan program Media Selangor Masuk Kampung di Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, hari ini.
Borhan menambah, perkampungan moden berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya termasuklah dewan komuniti, kawasan berniaga dan tempat beriadah.
Terletak berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya, beliau berkata kampung berkenaan berpotensi tinggi dari segi pembangunan.
“Proses pewartaan sudah diuruskan dan insya-Allah esok saya akan turun menyampaikan sumbangan seperti dijanjikan oleh PKNS kepada lebih 300 keluarga di Bukit Baja.
Semua keluarga yang dikenal pasti akan menerima pampasan atau pembangunan di kawasan ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian.
Sebelum ini, EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata proses memuktamadkan Draf Perjanjian Penyelesaian Penempatan Semula komuniti Bukit Baja yang melibatkan 56 ketua isi rumah kini memasuki peringkat akhir.
Menurut beliau, PKNS bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan penduduk telah mengadakan sesi libat urus sejak 2005 bagi mencari penyelesaian terbaik.
Setiap ketua isi rumah bakal menerima rumah baharu bersaiz 1,000 kaki persegi beserta kemudahan lengkap seperti dewan, tabika, surau, pejabat dan kemudahan awam lain.
Kawasan ini turut dicadang untuk diwartakan sebagai penempatan rasmi Orang Asli.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kampung tersebut akan dipindahkan ke kawasan baharu milik Kerajaan Negeri bagi memastikan mereka memiliki penempatan terjamin, memandangkan tapak lama adalah tanah PKNS dan tidak pernah diwartakan.
Selain itu, tapak asal seluas 98.3 hektar itu turut terlibat dalam pembangunan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan.


