Draf perjanjian penempatan semula Orang Asli Bukit Baja hampir dimuktamad

20 Nov 2025, 9:30 AM
Draf perjanjian penempatan semula Orang Asli Bukit Baja hampir dimuktamad

SHAH ALAM, 20 NOV: Proses memuktamadkan Draf Perjanjian Penyelesaian Penempatan Semula komuniti Orang Asli Bukit Baja, Dengkil yang melibatkan 56 ketua isi rumah (KIR) kini memasuki peringkat akhir.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan penduduk telah mengadakan siri perbincangan serta libat urus sejak 2005 bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Sebagai memenuhi tuntutan yang dikemukakan batin Kampung Orang Asli Bukit Baja, PKNS menawarkan penempatan semula meliputi 56 unit rumah baharu bersaiz 1,000 kaki persegi serta kemudahan lengkap seperti dewan, tabika, surau, pejabat dan beberapa kemudahan awam lain.

“Keseluruhan kawasan berkeluasan 180 ekar (72.8 hektar) ini turut dicadang untuk diwartakan sebagai penempatan rasmi,” kata V Papparaidu ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kampung tersebut akan dipindahkan ke kawasan baharu milik kerajaan negeri bagi memastikan mereka memiliki penempatan terjamin, memandangkan tapak lama adalah tanah PKNS dan tidak pernah diwartakan.

Tapak asal seluas 98.3 hektar itu turut terlibat dalam pembangunan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).