Tanah runtuh: Laluan ke Apartmen Puncak Arabella kembali dibuka, 53 penduduk selamat pulang

29 Nov 2025, 2:01 AM
Tanah runtuh: Laluan ke Apartmen Puncak Arabella kembali dibuka, 53 penduduk selamat pulang

SHAH ALAM, 29 NOV: Laluan keluar masuk ke Apartmen Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands yang terputus akibat tanah runtuh semalam telah dibuka semula awal pagi ini selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata semua penduduk yang terkandas selamat pulang ke rumah masing-masing.

“Sebanyak 53 penduduk daripada 13 keluarga terjejas. Sebahagian besar berpindah sendiri ke rumah saudara, manakala 17 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Puncak Arabella,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian tanah runtuh di lereng bukit berhampiran Blok C bangunan itu berpunca daripada hujan lebat berterusan, menjejaskan akses kepada 346 rumah dengan 28 unit berada dalam keadaan berisiko.

Azri menegaskan tindakan pantas pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berjaya mengawal keadaan dengan baik.