SHAH ALAM, 28 NOV: Tiga lelaki berusia 18 hingga 36 tahun parah selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki dipercayai kongsi gelap di Selayang Jaya, Gombak, tengah malam tadi.
Insiden berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam ketika ketiga-tiga mangsa sedang minum berhampiran kenderaan diparkir di hadapan sebuah farmasi sebelum diserang sekumpulan lelaki lain secara tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata kumpulan suspek itu dipercayai menyerang menggunakan senjata yang belum dapat dipastikan, lapor Berita Harian.
"Tiga mangsa lelaki tempatan itu telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan.
"Setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti motif kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis juga sedang berusaha mengenal pasti suspek terbabit, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohamad Shafiq Md Shapawi, melalui talian 013-5154065.
Terdahulu, kejadian itu dirakam orang awam yang berada berhampiran lokasi sebelum ia tular.
Rakaman video tular itu menunjukkan kumpulan penyerang dianggar membabitkan enam orang yang menaiki beberapa kenderaan berasingan.
Berdasarkan maklumat sumber, pergaduhan itu dipercayai membabitkan mangsa disyaki daripada Geng 36 dan suspek disyaki daripada Geng 24.
Tiga mangsa berkenaan kemudian dirawat di Zon Merah, Hospital Selayang, susulan kecederaan parah dialami akibat serangan itu.


