SHAH ALAM, 28 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan menganjurkan sesi dialog awam bagi membincangkan pelan pencegahan bencana banjir pada 4 Disember ini di Dewan Hamzah, Klang.
Datuk Bandarnya Dato' Abd Hamid Hussain berkata sesi itu diadakan bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan pihak berkepentingan termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.
“Selaras dengan permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), program berkaitan masalah banjir perlu dikongsi dan menerima pandangan daripada pelbagai pihak.
“Kita berharap hujan berterusan tidak membawa bencana besar dan meminta semua pihak bersedia dalam menangani isu banjir,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan Bil. 11 Tahun 2025, hari ini.
Pada 15 Oktober lepas, Selcat mencadangkan Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh negeri, khususnya Klang, melaksanakan latihan simulasi banjir bagi penduduk.
Pengerusi Selcat, Lau Weng San berkata latihan berkenaan penting untuk memberi persediaan kepada penduduk menghadapi bencana.
Weng San berkata demikian selepas mempengerusikan sesi pendengaran awam mengenai perkembangan terkini usaha menangani masalah banjir di Klang, yang diadakan di Bilik Gerakan Wisma DNS.
Pelan tindakan mitigasi banjir Klang 2025-2030 akan menjadi dasar menaik taraf sistem saliran utama bandar raya itu ke arah reka bentuk yang boleh ditampung selama 20 tahun.



