SHAH ALAM, 28 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Sungai Buloh bagi tujuan menaik taraf kemudahan memandangkan sekolah sering dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan berkenaan dijangka disalurkan awal Januari depan bagi memastikan sekolah terbabit lebih bersedia menampung jumlah mangsa yang ditempatkan sekiranya banjir berulang.
“Yayasan MBI komited membantu SK Desa Aman yang menjadi PPS kepada mangsa banjir sekitar Ijok, khususnya kawasan Saujana Aman.
“Sekolah ini agak sesak apabila dijadikan PPS dengan menerima lebih 700 mangsa. Diharap sumbangan ini dapat meningkatkan keselesaan mangsa yang ditempatkan di sini pada masa akan datang,” katanya ditemui dalam satu majlis di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Seksyen 4, di sini hari ini.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut meninjau keadaan mangsa banjir di PPS SK Desa Aman yang menempatkan hampir 1,000 mangsa daripada tiga kawasan terjejas iaitu Taman Saujana Aman, Kampung Sri Aman dan Kampung Boyan.
Dato’ Menteri Besar turut memaklumkan bahawa PPS berkenaan merupakan pusat pemindahan dengan jumlah mangsa tertinggi di Selangor setakat ini.


