Hujan berterusan: PDT Klang pertingkat kesiapsiagaan, penduduk diminta waspada

28 Nov 2025, 5:34 AM
Hujan berterusan: PDT Klang pertingkat kesiapsiagaan, penduduk diminta waspada

SHAH ALAM, 28 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang mengarahkan semua agensi dan jabatan di daerah itu meningkatkan kesiapsiagaan berikutan potensi kejadian banjir susulan ramalan hujan berterusan sehingga esok.

Dalam kenyataan di Facebook, pihaknya memaklumkan kesemua anggota keselamatan, pasukan teknikal dan petugas sokongan diarahkan bersiap sedia bagi tujuan menyelamat, pengoperasian pusat pemindahan serta penyelarasan tenaga kerja agar pengurusan bencana dapat dijalankan dengan lancar.

“Penduduk di kawasan berisiko banjir diingatkan supaya berhati-hati, memantau situasi dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Bacaan pasang surut air laut oleh Pusat Hidrografi Nasional hendaklah dijadikan rujukan untuk menjangka kawasan yang berpotensi dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara turut mengeluarkan amaran risiko banjir bagi beberapa kawasan rendah di daerah Klang mulai semalam hingga esok, khususnya di sekitar Lembangan Sungai Klang antaranya:

  • Kampung Johan Setia

  • Taman Sri Muda

  • Jalan Kebun Nenas

  • Taman Saujana

Ramalan tersebut selari dengan unjuran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meletakkan Selangor pada tahap amaran kuning, iaitu hujan berterusan yang memerlukan langkah berjaga-jaga.

PDT Klang turut mengingatkan penduduk supaya menyediakan beg kecemasan yang mengandungi dokumen penting, menutup suis utama elektrik apabila diarahkan berpindah.

Orang ramai juga disaran memuat turun aplikasi MyIBJKM bagi memudahkan urusan pendaftaran mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan pengurusan bantuan pemulihan bencana.

Setakat tengah hari ini, 3,023 orang daripada 798 keluarga ditempatkan di 21 PPS di lima daerah paling terjejas iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.