Banjir Selangor: Jumlah mangsa melonjak kepada 3,023 orang, 21 PPS diaktifkan

28 Nov 2025, 2:46 AM
Banjir Selangor: Jumlah mangsa melonjak kepada 3,023 orang, 21 PPS diaktifkan
Banjir Selangor: Jumlah mangsa melonjak kepada 3,023 orang, 21 PPS diaktifkan
Banjir Selangor: Jumlah mangsa melonjak kepada 3,023 orang, 21 PPS diaktifkan

SHAH ALAM, 29 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat kepada 3,023 orang daripada 798 keluarga ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 2,718 mangsa membabitkan 719 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua PPS beroperasi di lima daerah paling terjejas iaitu Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Dalam masa sama, ribut tropika Senyar yang melanda pesisir barat Semenanjung awal pagi tadi dilaporkan semakin melemah, namun hujan dijangka masih berterusan di beberapa kawasan sehingga menyebabkan risiko banjir kekal tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tersebut kini bergerak ke Pahang selepas kehilangan kekuatan apabila memasuki daratan.

Semalam, MetMalaysia memberi amaran bahawa Selangor, Perak dan sebahagian Pahang berpotensi terkesan akibat ribut Senyar dengan kelajuan angin mencecah 50 km/j, selain membawa hujan lebih 200mm dalam tempoh 24 jam.

Ribut Senyar merupakan kejadian pertama seumpamanya direkodkan terbentuk di perairan Selat Melaka, sekali gus meningkatkan risiko cuaca buruk dan hujan berterusan di negeri terlibat.

Susulan itu, Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman ribut tropika, dengan keselamatan rakyat menjadi keutamaan memandangkan negeri berdepan fenomena ini buat kali pertama dalam sejarah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan malam tadi memaklumkan sejumlah 1,173 PPS telah dikenal pasti dan bersiap siaga untuk menampung sehingga 244,000 penduduk di seluruh negeri.

Bagi mempercepat gerak kerja bantuan, sebanyak 344 jentera termasuk kenderaan pacuan empat roda dan lori muatan berat serta 227 bot ditempatkan di lokasi strategik seluruh negeri bagi tujuan penghantaran bantuan, pemindahan mangsa dan operasi mencari serta menyelamat.