SHAH ALAM, 28 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan bahawa Ribut Tropika Senyar kini telah melemah dan diturunkan tarafnya menjadi sistem cuaca tekanan rendah.
Agensi itu memaklumkan bahawa ribut berkenaan sedang berada di tengah Semenanjung Malaysia dan dijangka terus bergerak ke arah timur menuju perairan Laut China Selatan.
Berdasarkan pencerapan radar cuaca, tengah malam tadi ribut berkenaan berada di kawasan pantai antara sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.
“Walaupun sistem cuaca ini semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif dan berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan serta angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung.
Corak cuaca sebegini dijangka berterusan sehingga esok,” kata MetMalaysia dalam kenyataan hari ini.
Tambah agensi itu, pemantauan cuaca akan diteruskan secara berterusan dan maklumat terkini serta amaran akan dikeluarkan sekiranya berlaku perubahan signifikan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi India (IMD) turut mengeluarkan kenyataan pagi tadi, menjangka Senyar akan bergerak ke arah timur dan melemah dalam tempoh 12 jam akan datang.
IMD menjelaskan bahawa kawasan tekanan rendah yang kini terbentuk merupakan baki sistem Senyar, termasuk Selat Melaka dan kawasan sekitar Malaysia.




