Ribut tropika Senyar: Tingkat risiko bah, tanah runtuh di pesisir barat Semenanjung

28 Nov 2025, 3:00 AM
Ribut tropika Senyar: Tingkat risiko bah, tanah runtuh di pesisir barat Semenanjung
Ribut tropika Senyar: Tingkat risiko bah, tanah runtuh di pesisir barat Semenanjung
Ribut tropika Senyar: Tingkat risiko bah, tanah runtuh di pesisir barat Semenanjung

SHAH ALAM, 28 NOV: Pembentukan luar biasa ribut tropika Senyar di Selat Melaka memberi amaran jelas bahawa perubahan iklim dan lautan yang semakin panas meningkatkan kebarangkalian ribut terbentuk lebih dekat dengan pesisiran pantai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) Daniel Lee, perubahan keadaan atmosfera bersama peningkatan suhu permukaan laut mewujudkan persekitaran di mana ribut tropika boleh menguat dengan lebih cepat dan muncul di lokasi yang jarang berlaku.

“Dengan perubahan iklim, keadaan atmosfera berubah dan apabila digabungkan dengan lautan lebih panas, ribut tropika yang berkembang menjadi taufan tropika dijangka berlaku lebih kerap,” katanya kepada Media Selangor.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran bagi ribut tropika Senyar, yang dikesan di utara Sumatera dan kini berada kira-kira 102 km barat daya Lumut, Perak.

Sehingga malam tadi, ribut berkenaan mencatat kelajuan angin maksimum 50 km/j, dengan hujan melebihi 200mm dijangka turun dalam tempoh 24 jam.

“Inilah yang berlaku dengan ribut tropika Senyar, terbentuk dalam kawasan sempit Selat Melaka, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah kita,” kata Daniel.

Beliau menasihatkan ribut seperti ini boleh membawa hujan lebat berterusan, meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan pesisiran, limpahan sungai dan tanah runtuh di pesisiran barat Semenanjung Malaysia.

Daniel menambah, angin kencang dan ombak tinggi turut dijangka berlaku semasa kejadian cuaca sebegini, dengan Selangor berada dalam zon potensi impak.

Merujuk MetMalaysia, ribut tropika Senyar dijangka membawa hujan lebat berterusan, angin kuat dan ombak tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia terutama di negeri barat dan tengah, bermula semalam sehingga Sabtu (29 November).

Ribut tropika Senyar merupakan ribut pertama seumpamanya yang direkodkan terbentuk di Selat Melaka, mencerminkan kebimbangan meningkat mengenai bagaimana krisis iklim sedang mengubah corak cuaca di rantau ini.