KLANG, 4 DIS: Klang bakal melaksanakan enam projek mitigasi banjir bernilai RM12 juta bermula tahun depan sebagai usaha memperkukuh pertahanan daerah itu daripada risiko banjir susulan peningkatan fenomena cuaca ekstrem.
Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata dua projek terbesar melibatkan kerja menaik taraf sistem saliran di Taman Maznah dan Taman Palm Grove, masing-masing dengan peruntukan RM5 juta.
Katanya, turut dilaksanakan ialah pembangunan sistem pemantauan dan amaran banjir bernilai RM500,000.
“Tiga lagi projek melibatkan khidmat perunding reka bentuk di Taman Ambang Botanik, Bandar Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas dengan kos keseluruhan RM1.5 juta,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus Pelan Pencegahan Banjir di Bangunan MBDK di sini, hari ini.
Menurut Abd Hamid, pelan mitigasi yang dirangka sebelum ini menunjukkan impak positif, dengan Ribut Tropika Senyar digunakan sebagai penanda aras baharu dalam menilai keberkesanan tindakan sedia ada.
“Banjir terbaharu hanya menjejaskan kawasan Meru, Pulau Indah dan Teluk Gong meskipun Senyar membawa hujan lebat berterusan.
"Pelan mitigasi sedia ada berjaya mengurangkan impak kepada masyarakat dan kita berharap keberkesanan ini dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM127 juta diperuntukkan sehingga 2030 bagi pelaksanaan projek mitigasi banjir secara berperingkat di seluruh Klang, meliputi pembinaan kolam takungan, penaiktarafan sistem perparitan dan pembangunan infrastruktur berkaitan.
“Sebahagian besar projek memberi fokus kepada pembinaan kolam takungan tambahan serta menaik taraf saliran sedia ada memandangkan kapasiti perparitan kini tidak lagi sesuai dengan perkembangan pesat bandar berbanding 20 tahun lalu,” katanya.
Abd Hamid menjelaskan pembangunan pesat di Klang turut mengurangkan kawasan tadahan semula jadi apabila tanah ladang dan kawasan menyerap air ditukar kepada tapak industri serta perumahan.
“Akibatnya, air hujan terus masuk ke sistem parit tanpa proses penyerapan. Ini menuntut lebih banyak kolam takungan dibina.
"Kita berharap pemaju perumahan dan industri dapat mengorbankan sedikit tanah bagi tujuan ini demi mengelakkan risiko banjir,” katanya.



