SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 113 warga asing ditahan dalam dua operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah medan selera pusat membeli-belah di Sepang dan lima blok pangsapuri di Klang.
Operasi di medan selera dijalankan pada 25 November sekitar jam 11.45 pagi, manakala serbuan di pangsapuri terbabit dilakukan pada 26 November sekitar jam 12.05 pagi. Tindakan ini hasil aduan awam serta risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut JIM, seramai 127 individu diperiksa di medan selera, terdiri daripada 92 warga asing dan 35 warga tempatan. Hasil pemeriksaan, 17 warga asing ditahan, melibatkan enam warga Myanmar, enam Indonesia, tiga Bangladesh, dan dua China berusia antara 20 hingga 35 tahun.
Bagi operasi di Klang pula, seramai 861 individu diperiksa, terdiri daripada 707 warga asing dan 154 tempatan. Seramai 96 warga asing ditahan, termasuk 38 Pakistan, 33 Myanmar, lapan Bangladesh, 11 Indonesia, empat India dan dua Nepal berusia antara 18 hingga 55 tahun.
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM turut mengeluarkan tiga borang saman kepada tiga saksi warga tempatan yang bekerja di medan selera pusat membeli-belah berkenaan,” kata kenyataan itu.
JIM menjelaskan terdapat pendatang tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri dan menyorok ketika serbuan, namun cubaan itu berjaya digagalkan pegawai.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal melebihi masa, atau menyalah guna pas. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi PATI,” tegasnya.
Semua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium untuk siasatan lanjut.








