ad

Pengasas eHati, suami masih sembunyi di negara sama sejak Oktober - Polis

27 Nov 2025, 7:31 AM
Pengasas eHati, suami masih sembunyi di negara sama sejak Oktober - Polis

SHAH ALAM, 27 NOV: Pengasas program motivasi kontroversi eHati dan suaminya dipercayai masih berada di sebuah negara yang sama sejak menghilangkan diri pada Oktober lalu, berdasarkan maklumat risikan serta kerjasama dengan pihak berkuasa luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata sehingga kini pasangan berkenaan masih belum ditemui, namun usaha mengesan mereka giat diteruskan menerusi kerjasama rentas negara.

“Kedua-dua negara (negara terbabit dan Malaysia) saling membantu bagi mengesan individu berkenaan.

"Dia masih di negara terbabit dan buat masa ini belum ‘red flag’ kerana sedang bekerjasama dengan negara terbabit dan kita tahu mereka ke negara mana dan tidak ke mana pun,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Immediate Reform Kempen Antibuli; Dari Rumah Ke Sekolah, Ibu Bapa Asas Benteng Pencegahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Shazeli turut memaklumkan polis Selangor sentiasa berkoordinasi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) susulan perkembangan kes itu.

“Kami memang berhubung dengan Jais melalui mesyuarat berkala dan perkara ada dibincangkan dan memang ada kolaborasi antara satu sama lain,” jelasnya.

Pada 14 November lalu, polis Selangor mengesahkan pasangan tersebut yang dikehendaki selepas waran tangkap dikeluarkan mahkamah berada di sebuah negara Asia Tenggara.

Semakan polis mendapati kedua-duanya keluar dari Malaysia menggunakan laluan sah pada 13 Oktober, sehari sebelum pertuduhan dibuat.

Sebelum ini, polis menerima laporan berhubung program motivasi rumah tangga didakwa songsang dan terpesong yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di sini pada September tahun lalu.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalankan siasatan terperinci bersama Jais bagi memastikan kesahihan maklumat berkaitan program berkenaan.