ad

Dua individu termasuk pengasas eHATI diburu, waran tangkap dikeluarkan

11 Nov 2025, 5:30 AM
Dua individu termasuk pengasas eHATI diburu, waran tangkap dikeluarkan

SHAH ALAM, 11 NOV: Polis kini sedang mengesan pengasas program motivasi eHATI bersama seorang lagi individu selepas mereka gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan yang dijadualkan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, mahkamah mengeluarkan dua waran tangkap terhadap kedua-dua individu terbabit selepas mereka tidak muncul pada hari pertuduhan.

“Dua waran tangkap telah dikeluarkan terhadap dua individu termasuk pengasas eHATI kerana gagal hadir ketika pertuduhan hendak dijalankan di mahkamah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau memaklumkan, pihak polis sedang giat mengesan lokasi mereka namun enggan mendedahkan butiran lanjut bagi melancarkan siasatan.

“Saya tidak boleh dedahkan di mana mereka berada, namun usaha sedang dijalankan bagi mengesan kedua-dua individu terbabit,” katanya.

Difahamkan, pengasas eHATI dan seorang lagi individu itu sepatutnya didakwa pada 14 Oktober lalu, bersama sepasang suami isteri yang juga merupakan doktor dalam bidang kesihatan dan kecantikan.

Sebelum ini, sebanyak 95 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga anjuran eHATI yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, Shah Alam pada September tahun lalu.