SHAH ALAM, 20 NOV: Hasil kajian menyeluruh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap modul program Queen’s Night anjuran syarikat eHati akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja (MRR) bagi mendapatkan perkenan sebelum sebarang tindakan susulan diambil pihak berkuasa agama negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kajian tersebut dijalankan Jakim dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi meneliti modul yang dilaksanakan dalam program berkenaan.
Menurutnya, hasil kajian itu dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah Jakim pada 27 Ogos lalu sebelum kertas kajian dan keputusan panel tersebut diangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 pada 24 September 2025.
“Keputusan ini seterusnya akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja (MRR) bagi mendapat perkenan sebelum ia diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu) mengenai dakwaan elemen ritual bertentangan syariah dalam program Queen’s Night yang berlangsung di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 27 hingga 30 September 2024 serta tindakan yang telah atau akan diambil hasil siasatan pihak berkuasa agama.
Mengulas tindakan penguatkuasaan, Mohd Na’im berkata Jais menahan enam individu terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita pada 24 Julai 2025.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina Agama Islam), Seksyen 16 (Penerbitan Agama Bertentangan Hukum Syarak) dan Seksyen 46 (Penyubahatan) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Penahanan tersebut dibuat kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” jelasnya.
Sebelum tindakan Jais, PDRM turut menahan enam individu berkenaan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan (perbuatan lucah), Seksyen 509 (menghina kehormatan) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (kelakuan tidak sopan).
Tambah Mohd Na’im, Jakim, Jais dan PDRM terus bekerjasama dalam meneliti isu tersebut bagi memastikan semua aspek, termasuk kandungan modul program, diperhalusi sebelum tindakan ditentukan mengikut bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Pada 16 Julai lalu, polis mengesahkan terdapat elemen lucah dan tidak bermoral dalam program motivasi 'eHati' di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor yang berlangsung pada September tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati unsur tersebut dijalankan dalam aktiviti yang dipanggil "rebirth" pada malam acara "Queens Night" yang kononnya dibuat untuk menaikkan motivasi diri.




