ad

Kaunselor eHati menangis ketika rayuan, didenda RM4,000 kerana dedah anggota badan

26 Nov 2025, 7:30 AM
Kaunselor eHati menangis ketika rayuan, didenda RM4,000 kerana dedah anggota badan

SHAH ALAM, 26 NOV: Seorang kaunselor motivasi program eHati dijatuhi denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah kerana mendedahkan anggota badan secara tidak wajar sehingga menjejaskan imej Islam pada September tahun lalu.

Siti Zaama Rizal Boss, 49, menangis ketika merayu hukuman dan memohon pertimbangan mahkamah atas alasan tekanan emosi serta masalah rumah tangga.

“Saya ada masalah rumah tangga dan banyak trauma yang berat untuk saya tanggung. Saya mohon maaf dengan apa yang berlaku dan menjadi pengajaran yang jelas buat saya.

"Saya hanya mampu bayar denda RM500 kerana tidak bekerja dan suami juga tidak bekerja,” katanya seperti dilapor BH.

Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin bagaimanapun mengekalkan hukuman tersebut dan memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

“Islam itu sebagai ‘pakaian’ dan cara hidup kamu. Bukan secara zahir tetapi pelindung kamu.

"Walaupun anda sakit (masalah rumah tangga dan emosi). Namun, perhitungkan halal dan haram jangan dilanggar sahaja. Kamu aibkan diri sendiri,” tegurnya.

Mengikut pertuduhan, Siti Zaama melakukan perbuatan itu di sebuah dewan pusat konvensyen di Shah Alam antara 8 malam hingga 12 tengah malam pada 29 September 2023.

Kes dikendalikan Pendakwa Syarie Husaini Roslin.

Dalam prosiding sama, dua lagi individu iaitu Bushra Mohd Zaki, 41, dan Munirah Hishamshah, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama yang didakwa berlaku pada 30 September 2023.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 5 Mac 2026 bagi perbicaraan.