ad

Bot karam di perairan Pulau Perak: Seorang maut, 18 selamat

27 Nov 2025, 6:44 AM
Bot karam di  perairan Pulau Perak: Seorang maut, 18 selamat
Bot karam di  perairan Pulau Perak: Seorang maut, 18 selamat

SHAH ALAM, 27 NOV: Seorang maut, manakala 18 lagi diselamatkan selepas sebuah bot karam akibat cuaca buruk di perairan Pulau Perak di Kedah, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 11 pagi selepas menerima laporan mengenai kejadian yang diaktifkan Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC).

TLDM melalui kenyataan berkata, Kapal Diraja (KD) Ledang diatur gerak ke kawasan pencarian untuk melaksanakan operasi secara berterusan.

"Hasil tindakan efektif di lapangan, 19 mangsa berjaya ditemui pada jam 10.15 malam semalam.

"Bagaimanapun seorang mangsa disahkan meninggal dunia, manakala mangsa yang selamat diberikan rawatan awal di atas kapal," katanya.

Dalam kejadian berasingan, TLDM menyelamatkan sembilan orang awam yang terkandas susulan tanah runtuh di Pulau Jarak di Perak.

TLDM mengatur gerak helikopter jenis Super Lynx untuk menyelamatkan sembilan orang awam yang terkandas susulan tanah runtuh di Pulau Jarak di Perak. - Foto ihsan TLDM

"Susulan itu, sebuah helikopter jenis Super Lynx diatur gerak bagi melaksanakan pemindahan dari lokasi yang dinilai tidak lagi selamat diduduki.

"Melalui tindakan pantas serta koordinasi rapi, semua mangsa diselamatkan seterusnya dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi itu," katanya.

Dalam pada itu TLDM menasihatkan orang ramai berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini berikutan hujan lebat kebelakangan ini memberi kesan kepada kawasan perairan negara.