ad

Amaran hujan berterusan di Semenanjung hingga Sabtu

27 Nov 2025, 4:28 AM
Amaran hujan berterusan di Semenanjung hingga Sabtu

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di seluruh Semenanjung yang dijangka hari ini hingga Sabtu.

Hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Kedah membabitkan kawasan Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang; Perak dan Terengganu, menurut MetMalaysia menerusi kenyataan.

Situasi sama dijangka berlaku di Pahang membabitkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong; Selangor; Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Selain itu, hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Kelantan dan beberapa kawasan di Pahang iaitu Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan serta Rompin.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor membabitkan kawasan Tangkak serta Segamat turut diramalkan mengalami hujan berterusan (waspada).

MetMalaysia memaklumkan, jangkaan itu susulan ribut tropika yang dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan 24 kilometer per jam (km/j) dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.

Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638.