SHAH ALAM, 27 NOV: Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang dibangunkan Central Spectrum di Pulau Indah melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dijangka mula beroperasi suku pertama tahun depan.
Projek yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 3.47 ekar yang diwakafkan syarikat tersebut mampu menempatkan lebih 100 anak yatim apabila siap sepenuhnya kelak.
Kompleks tersebut dibina dengan konsep Islamik kontemporari dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti blok asrama, surau, dewan serbaguna, perpustakaan, bilik teknologi maklumat (IT) serta ruang riadah.
Kemudahan ini disediakan bagi memastikan anak-anak yatim menikmati suasana pembelajaran, tarbiah dan kehidupan yang selesa, setanding rakan sebaya mereka.
Ketua Pegawai Operasinya, Amran Abdul Wahab berkata RM5 juta diperuntukkan bagi membina kompleks tersebut yang kini dalam fasa akhir pembinaan.
“Ini sebahagian daripada CSR dan dana RM5 juta diperuntuk bagi membina asrama yang dijangka memulakan operasi suku pertama tahun hadapan.

“Pembinaan telah bermula sejak tahun lepas dan kompleks anak yatim ini lengkap dengan asrama, tempat belajar dan dewan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut menjelaskan, selain kompleks tersebut, Central Spectrum juga bekerjasama dengan Halal International Selangor (HIS) untuk membangunkan kawasan perniagaan khusus bagi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Buat masa ini, hampir siap dan akan beroperasi dalam masa terdekat. Dengan kos hampir RM20 juta, ini sebahagian usaha Central Spectrum bawa 30 peniaga halal secara berpusat.
“Pelbagai produk halal akan dibawa, tidak terhad kepada makanan, termasuk perkhidmatan. Ia mengikut modul ditentukan HIS,” katanya.




