KLANG, 15 NOV: Central Spectrum Sdn Bhd memperkenalkan projek perumahan baharu, Residensi Aluna, menawarkan kediaman teres moden dua tingkat di Laguna Park, Pulau Indah lengkap dengan kemudahan komuniti yang menyokong gaya hidup seimbang.
Residensi Aluna dibina di atas tanah seluas 5.94 ekar, menampilkan 166 unit kediaman yang terbahagi kepada tiga jenis dengan keluasan binaan antara 1,348 hingga 1,551 kaki persegi.
Kediaman ini dijangka menarik minat pembeli yang menggemari konsep kediaman moden tepi laut berikutan lokasinya yang berdepan dengan Selat Lumut.
Ketua Pegawai Operasi Central Spectrum Amran Abdul Wahab berkata projek ini bukan sahaja menampilkan seni bina kontemporari tetapi juga membina komuniti harmoni di tepi pantai.

“Kita telah menyiapkan pembangunan industri seluas lebih 3,000 ekar termasuk projek perumahan antaranya Residensi Aluna. Projek ini terbahagi kepada tiga jenis, bermula dari RM527,000 sehingga RM665,000.
“Setakat ini, kerja-kerja pemasangan cerucuk telah bermula, dan kami menjangka projek ini siap sepenuhnya pada Oktober 2027,” katanya pada sesi pratonton eksklusif Residensi Aluna hari ini.
Bagi menarik pembeli, pelbagai promosi ditawarkan, termasuk diskaun tujuh peratus bagi setiap unit, rebat tunai RM3,000, baucar, serta cabutan bertuah dua buah kereta dan motosikal elektrik.
Selain pembangunan kediaman, projek ini turut menekankan penyediaan kemudahan awam. ‘

Pada majlis sama, Central Spectrum menyerahkan tapak seluas 18 ekar kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan balai polis, balai bomba, klinik kesihatan, pejabat PBT dan perpustakaan awam.
Penyerahan tapak disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Menurut Ahmad Fadzli, tapak-tapak ini telah mendapat kebenaran merancang sejak 2008 dan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Penyerahan tanah ini membuktikan Central Spectrum bukan sekadar membina kediaman, tetapi menekankan pembangunan komuniti dengan menyediakan kemudahan awam.
"Projek ini melambangkan keseimbangan antara gaya hidup moden dan keharmonian persekitaran,” katanya.







