ad

Selangor Halalvibe Fest 2025 ketengah konsep halal untuk semua

27 Nov 2025, 2:00 AM
Selangor Halalvibe Fest 2025 ketengah konsep halal untuk semua

SHAH ALAM, 27 NOV: Selangor Halalvibe ​Fest 2025 kembali sebagai festival halal terbesar negeri dengan mengetengahkan konsep 'Halal Untuk Semua', terbuka kepada semua kaum dan peringkat umur.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS), Muhammad Khushairi Mat Lasar berkata konsep tersebut diperkenalkan bagi memperluas pemahaman masyarakat bahawa halal bukan hanya untuk Muslim tetapi merangkumi aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti.

“Halal ini untuk semua. Ia tentang kebersihan, penyediaan yang betul dan standard yang tinggi. Sesiapa pun boleh guna, tidak kira kaum,” katanya menerusi Bicara Semasa terbitan Media Selangor siaran 25 November.

300 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)

Edisi tahun ini menghimpunkan lebih 300 usahawan merangkumi makanan, fesyen, spa halal, kosmetik dan gaya hidup.

Muhammad Khushairi berkata penyertaan besar itu sejajar usaha HIS mendekatkan usahawan kepada pengguna.

Rakaman Bicara Semasa bersama Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor ( HIS) Muhammad Khusairi Mat Lasar di Studio MSSB, Shah Alam pada 20 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Ini platform terbaik untuk PMKS mempromosi produk secara terus.

"Kita mahu usahawan lebih berdaya saing dan bersedia menembusi pasaran lebih luas,” jelasnya.

Kerjasama agensi dan jenama besar perkukuh penganjuran

Festival ini turut menerima sokongan padu Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Kemajuan Islam Malasia (Jakim) serta Tourism Selangor.

Selain itu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta syarikat utama seperti Agrobank, Maybank, MyCar, QSR Brands dan banyak lagi.

“Kerjasama strategik ini mengukuhkan penganjuran.

"Kita bersyukur ramai rakan besar membantu memastikan festival ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Klinik Halal dan sesi advokasi perjelas proses pensijilan

Klinik Halal menjadi antara tarikan utama apabila HIS memberikan pencerahan mengenai proses permohonan sijil halal yang masih membingungkan ramai.

“Ramai usahawan tak tahu langkah permohonan halal.

"Di sini kita terangkan satu persatu, dari dokumentasi hingga standard halal. Tujuannya untuk tingkatkan literasi dan keyakinan usahawan,” jelas Muhammad Khushairi.

Aktiviti keluarga menyeluruh dari kanak-kanak hingga warga emas

Festival ini menyediakan pelbagai aktiviti merangkumi semua peringkat umur termasuk pertandingan kucing comel, FunRun, Mamee Chef Cilik, pertandingan mewarna, Street Soccer dan persembahan kebudayaan.

“Kami mahu Selangor Halalvibe Fest jadi tempat keluarga berkumpul termasuk makan, belajar, berhibur dan menikmati masa bersama,” katanya.

Fesyen, kosmetik dan gaya hidup halal tarik minat generasi muda

Segmen fesyen dan kosmetik halal menarik perhatian golongan muda dengan produk berstatus halal dan berkualiti tinggi.

“Gaya hidup halal semakin berkembang. Kita mahu generasi muda melihat halal sebagai pilihan moden, bersih dan berkualiti," tambahnya.

Selangor ke arah hab halal negara

Menurut Muhammad Khushairi, penganjuran Selangor Halalvibe Fest selari visi negeri dalam menjadikan Selangor sebagai hab halal negara melalui pendidikan, sokongan usahawan dan ekosistem halal yang kukuh.

“Matlamat kita jelas iaitu Selangor mesti menjadi rujukan halal negara.

"Festival ini adalah salah satu langkah memperkukuh ekosistem itu,” tegasnya.