KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Halal International Selangor (HIS) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2 juta menerusi penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif HIS Toyyiba Sdn Bhd, Khushairi Lasar berkata sasaran itu mampu direalisasikan menerusi penyertaan sebanyak 20 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bawah Pavilion Selangor.
“Sebanyak 20 pempamer ini terdiri PMKS sektor makanan dan minuman, logistik dan pergudangan halal, kosmetik dan dandanan diri, institusi pendidikan dan media di bawah Pavilion Selangor.

“Penyertaan ini membuktikan keupayaan PMKS tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Kita harap MIHAS dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan di dalam dan luar negara.
“Harapan kita juga supaya lebih ramai usahawan dapat menghasilkan lebih banyak produk halal pada masa akan datang,” katanya kepada Media Selangor.
Jelasnya, HIS Toyyiba juga dalam usaha membangunkan digital dalam halal iaitu sebuah aplikasi membantu masyarakat mendapatkan informasi dengan lebih tepat.
“Digital dalam halal ini bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai dengan lebih cepat dan tepat berkaitan ekosistem halal. Kita akan rangkumkam dan umumkan dalam masa terdekat nanti,” katanya.
Mihas 2025 membuka tirainya hari ini di Mitec, Kuala Lumpur dengan menghimpunkan lebih 2,400 pempamer dari 80 negara yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berlangsung selama empat hari sehingga Sabtu.