ad

Rugi hampir RM3 juta, Air Selangor perketat penguatkuasaan kes kecurian air

26 Nov 2025, 2:00 PM
Rugi hampir RM3 juta, Air Selangor perketat penguatkuasaan kes kecurian air
Rugi hampir RM3 juta, Air Selangor perketat penguatkuasaan kes kecurian air

SHAH ALAM, 26 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperkukuh strategi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras kecurian air yang menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kadar air tidak terhasil (NRW).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Saffian Ghazali berkata antara langkah yang diambil ialah melakukan audit teknikal serta pemeriksaan berkala di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan setiap aktiviti penggunaan air berada dalam kawal selia yang sah.

Menurutnya, sebanyak 182 kes kecurian air direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, membabitkan kerugian melebihi RM2.9 juta dengan anggaran kehilangan lebih 966,826 meter padu air.

“Kes-kes ini melibatkan pelbagai kategori premis termasuk komersial, industri dan kediaman. Sebahagian besar kes dikesan hasil pemantauan dalaman serta aduan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali. Foto FACEBOOK/ADAM SAFFIAN GHAZALI

“Selain audit teknikal, pemantauan digital menggunakan sistem pengesanan tekanan dan aliran untuk mengenal pasti penggunaan tidak normal turut dilaksanakan, selain kerjasama dengan komuniti melalui saluran aduan rasmi 15300 dan aplikasi Air Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Adam berkata, kecurian air bukan sahaja meningkatkan kadar NRW, malah menambah kos operasi dan menjejaskan kecekapan sistem bekalan air.

“Bukan itu sahaja, ia turut menyebabkan gangguan tekanan air kepada pengguna sah di kawasan berhampiran serta kerosakan infrastruktur paip akibat sambungan tidak mengikut spesifikasi teknikal pemasangan paip Air Selangor.

“Kita tidak berkompromi terhadap sebarang sambungan haram dan akan terus melaksanakan tindakan tegas bersama agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air yang mampan dan adil kepada semua pengguna,” ujarnya.

Menurut beliau, Air Selangor turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam operasi penguatkuasaan membanteras kecurian air.

Katanya, kerjasama strategik itu memastikan setiap operasi mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan, selain meningkatkan keberkesanan tindakan di lapangan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.