ad

Waran tangkap dikeluarkan terhadap pengasas program eHati, kaunselor

26 Nov 2025, 6:00 AM
Waran tangkap dikeluarkan terhadap pengasas program eHati, kaunselor

SHAH ALAM, 26 NOV: Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas program motivasi rumah tangga eHati, Nur Diyanah Md Tahir, dan seorang kaunselor, Zatul Asmah Mat Isa, selepas gagal hadir ke mahkamah tanpa sebab.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin selepas pihak pendakwaan memohon waran tangkap terhadap kedua-dua tertuduh. Mahkamah turut memerintahkan carian imigresen bagi pengasas program motivasi yang beralamat di Damansara, lapor Harian Metro.

Hakim juga memberi kuasa kepada pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam menahan kaunselor yang juga seorang pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara Semenanjung, yang beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Kedua-duanya berdepan pertuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Terdahulu, penjamin Nur Diyanah memaklumkan tidak mengetahui keberadaannya. “Saya sudah lama tidak berhubung dengannya. Saya jadi penjamin kerana kasihan, tiada ahli keluarga hadir,” katanya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac 2026.

Pada 14 November lalu, suami isteri terbabit dipercayai melarikan diri ke luar negara sehari sebelum pertuduhan dijalankan, menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Siasatan polis sebelum ini memanggil 95 individu memberi keterangan berkaitan program motivasi rumah tangga yang dianjurkan di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, Shah Alam pada September tahun lalu.

Polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night, membabitkan empat fasilitator program tersebut.