ad

Kaunseling bukan tanda sakit mental sebaliknya langkah proaktif jaga emosi

24 Sep 2025, 5:51 AM
Kaunseling bukan tanda sakit mental sebaliknya langkah proaktif jaga emosi

SHAH ALAM, 24 SEPT: Bertemu kaunselor bukan bermakna seseorang itu menghadapi masalah kesihatan mental yang serius sebaliknya ia adalah langkah proaktif dan sihat dalam menjaga kesejahteraan emosi dan mental, kata EXCO Kesihatan Awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata, Program Kaunselor Hab Sehat yang dilancarkan Ogos tahun lalu adalah usaha Kerajaan Negeri menyediakan khidmat nasihat dan sokongan secara fizikal kepada individu yang berdepan dengan cabaran kesihatan mental.

“Sambutan sangat memberangsangkan. Ramai hadir secara fizikal untuk sesi bersama kaunselor dan ini membuktikan bahawa kesedaran tentang pentingnya kesihatan mental semakin meningkat.

“Perlu difahami bahawa sesi kaunseling terbuka untuk semua dan bukan hanya mereka yang mengalami cabaran kesihatan mental yang serius. Semua orang berhak untuk mendapatkan sokongan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ditemui media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 28 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pada masa sama, Jamaliah turut memaklumkan program tersebut diperluaskan ke Kampung Tunku dan Lembah Jaya berikutan kepentingan penjagaan kesihatan mental serta permintaan tinggi daripada penduduk setempat.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei menekankan bahawa sesi kaunseling sangat membantu untuk mereka yang berdepan tekanan keluarga, beban kerja atau yang memerlukan pandangan luar terhadap sesuatu isu.

“Khidmat kaunselor sangat berguna. Ia bukan hanya untuk individu yang mengalami tekanan melampau atau gangguan mental tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang perlukan ruang mendengar atau mencari perspektif baru dalam menyelesaikan masalah.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei bercakap kepada Media Selangor selepas melawat Program Selangor Saring DUN Kampung Tunku di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3, Petaling Jaya pada 3 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Aspek privasi sentiasa diutamakan sepanjang sesi berlangsung. Kita perlu menghormati setiap individu yang hadir untuk mendapatkan bantuan, dan privasi mereka akan dijaga sepenuhnya oleh pihak kaunselor.” tambahnya.

Berdasarkan rekod hansard Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Kelima Belas tahun lalu, seramai 96 orang menghadiri Program Kaunselor Hab Mental SEHAT yang dilancarkan pada Ogos tahun sama.

Daripada jumlah tersebut, seramai 66 wanita dan 30 lelaki direkodkan dengan 63 orang adalah bangsa Melayu diikuti 17 kaum India, 16 kaum Cina manakala golongan berusia antara 20 hingga 40 tahun tertinggi iaitu 59 orang, (41-59 tahun, 17 orang) dan (14-19 tahun, 11 orang).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.