ad

Selangor tingkat profesionalisme kaunselor, kukuh perkhidmatan kesihatan mental sekolah

16 Nov 2025, 9:30 AM

PETALING JAYA, 16 NOV: Usaha memperkukuh sokongan kesihatan mental pelajar terus dipertingkat melalui inisiatif Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang bakal menumpukan pembangunan kaunselor sekolah secara lebih sistematik, kata Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan supaya tahap profesionalisme dan kemahiran kaunselor sekolah dapat dipertingkat melalui kerjasama dengan pakar kesihatan mental sekali gus memastikan perkhidmatan kaunseling di sekolah lebih berkesan.

“Kita mahu perkhidmatan kaunseling di sekolah berada pada tahap terbaik kerana ia merupakan barisan hadapan yang mendengar dan mengurus pelajar berisiko atau yang mengalami tekanan emosi,” katanya kepada Media Selangor.

ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei berucap ketika Karnival Kesihatan Kampung Tunku di Taman Aman, Petaling Jaya pada 16 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Yi Wei turut memaklumkan pihaknya merancang mengadakan audit tenaga kerja guru kaunseling di sekolah bagi menilai keperluan sebenar dan memastikan penempatan serta beban tugas lebih tersusun.

Selain itu, beliau berkata sesi townhall tertutup bersama sekolah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku juga akan diadakan bagi mendalami isu kaunseling, kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 kelmarin berkata akan memperkenalkan modul sokongan kepada pelajar dan pemerkasaan guru dalam SEHAT bagi meningkatkan kemahiran asas komunikasi untuk menyokong rakan atau pelajar berisiko membuli atau dibuli.

Beliau berkata modul itu juga dapat melatih komuniti mengenal pasti tanda awal krisis kesihatan mental dan menyediakan pelan sokongan selaras dengan aspirasi Selangor sebagai negeri yang peduli dan progresif dalam kesihatan awam.

Penduduk memeriksa mata ketika Karnival Kesihatan Kampung Tunku di Taman Aman, Petaling Jaya pada 16 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR