ad

Lelaki maut ditembak dipercayai ketua sindiket samun, libat kerugian RM2.53 juta

25 Nov 2025, 7:15 AM
Lelaki maut ditembak dipercayai ketua sindiket samun, libat kerugian RM2.53 juta

SEPANG, 25 NOV: Lelaki yang ditembak mati di Jalan Batu 8, Jalan Banting-Dengkil di sini malam tadi dipercayai ketua sindiket samun yang aktif sejak 2022 dengan menyasarkan rumah, kilang dan tapak projek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan menggunakan pistol, parang serta batang besi.

“Mereka menyasarkan rumah kediaman, kilang e-waste serta tapak projek dan akan merosakkan dekoder CCTV serta memakai topeng muka dan sarung tangan ketika melakukan jenayah.

“Mereka tidak teragak-agak mencederakan mangsa sekiranya diancam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut beliau, kumpulan berkenaan mempunyai 10 ahli dan usaha kini giat dijalankan untuk mengesan baki rakan sejenayah suspek.

Katanya 17 kes direkodkan di Selangor manakala satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Melaka, membabitkan kerugian keseluruhan RM2.53 juta.

Menyentuh mengenai identiti suspek, Kumar memaklumkan lelaki berusia 30 tahun itu berasal dari Sepang dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk kes samun berkumpulan, mendatangkan kecederaan, pecah rumah serta merusuh.

“Suspek juga dikehendaki bagi dua kes samun stor penyimpanan barang di tapak projek di Sepang tahun lalu,” katanya.

Suspek pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 19 November lalu tanpa kehadiran bagi kes di bawah Seksyen 395/397 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan sebelum dikenakan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dan waran tangkap dikeluarkan.

Kejayaan menumpaskan suspek merupakan hasil operasi pencegahan samun yang digerakkan sejak awal bulan ini di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang.