Ibu duduki SPM selepas 20 tahun demi anak autisme

23 Nov 2026, 6:30 AM
Ibu duduki SPM selepas 20 tahun demi anak autisme

KOTA BHARU, 23 NOV: Demi membangkitkan semangat anak sulungnya yang merupakan calon berkeperluan khas, seorang ibu sanggup menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semula, selepas lebih dua dekad, hari ini.

Mazlina Abdul Majid, 44 berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan anaknya, remaja autisitk Muhammad Adam Danial Othman, 17, tidak berasa keseorangan dalam menghadapi peperiksaan, selain menyuntik semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Beliau berkata pada awalnya anaknya seakan-akan hilang semangat untuk belajar dan hal itu mendorong beliau mengambil keputusan untuk turut menjadi calon SPM bagi mewujudkan persaingan positif antara mereka.

“Saya rasa teruja dapat menduduki semula SPM terutamanya bersama anak. Pada mulanya, niat saya adalah sekadar untuk memberikan dorongan kepadanya supaya dia ada semangat dan rasa persaingan untuk belajar.

“Alhamdulillah, apabila saya turut serta, kami dapat mengulang kaji bersama dan saya nampak dia lebih bersemangat,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu di sini, hari ini.

Mazlina yang menetap di Kampung Karang, Padang Bongor, Binjai berkata beliau hanya mempunyai waktu malam untuk mengulang kaji pelajaran berikutan komitmen kerja sebagai Pembantu Pembedahan Pergigian di Klinik Pergigian Kota Bharu.

Beliau berkata persediaan menduduki peperiksaan kali ini agak mencabar kerana keputusan untuk menjadi calon SPM dibuat dalam tempoh singkat, menyebabkan beliau tidak sempat mengikuti pembelajaran mengikut sukatan pelajaran secara menyeluruh.

“Saya membuat keputusan untuk menduduki semula SPM ini sekitar Mac lalu sebelum mengetahui keputusan oleh jabatan bahawa saya lulus untuk menduduki peperiksaan ini pada Mei lalu, sekali gus membuatkan saya memulakan persediaan pada Jun,” katanya.

Beliau mengakui banyak bergantung pada bahan pembelajaran di YouTube serta tunjuk ajar beberapa guru termasuk guru di SMK Kota Bharu, selain mengikuti tuisyen persendirian khususnya bagi mata pelajaran Matematik.

Sementara itu, Muhammad Adam Danial berkata beliau berasa lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan apabila ibunya turut berada dalam dewan peperiksaan sama.

Beliau yang mengambil lapan mata pelajaran berkata sokongan ibu banyak membantunya membuat persediaan termasuk mengulang kaji bersama di rumah.

“Saya berdebar, tetapi saya buat semua ini untuk ibu. Saya berharap kami berdua dapat berjaya bersama-sama dan memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Muhammad Adam Danial yang disahkan menghidap autisme ketika di Tingkatan Tiga turut menyimpan impian untuk menjadi seorang guru dan berharap keputusan SPM kali ini dapat menjadi langkah awal untuk merealisasi cita-citanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.