SHAH ALAM, 26 NOV: Penggunaan MyDigital ID untuk mengesahkan umur pemilik akaun media sosial wajar bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan negatif dan penyalahgunaan platform.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkata kanak-kanak terutamanya masih belum mampu menilai risiko kandungan berbahaya dalam talian, menjadikan mereka mudah terdedah terhadap pelbagai bentuk eksploitasi digital.
Jelas Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pengesahan usia pengguna media sosial seperti yang diamalkan beberapa negara lain memastikan kanak-kanak hanya mengakses kandungan yang sesuai dengan umur mereka dan terhindar daripada risiko digital yang berpotensi merosakkan.
“Kita lihat bahawa penyalahgunaan media sosial dan gajet ini perlu dikawal. Dari segi kandungannya, ada yang betul-betul ganas yang mungkin menggalakkan anak-anak terjerumus kepada aktiviti kurang sihat.
“Mengawal akses dan menapis kandungan negatif adalah keperluan. Kerajaan perlu memikirkan langkah paling berkesan untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada risiko digital yang semakin kompleks,” katanya kepada Media Selangor.
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerajaan bercadang menggunakan MyDigital ID sebagai satu daripada mekanisme untuk mengesahkan umur pemilik akaun media sosial di negara ini.
Katanya langkah itu bertujuan memastikan pengguna platform media sosial tidak tergolong dalam lingkungan umur 16 tahun ke bawah, selaras dengan usaha kerajaan untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di ruang digital.
Menurutnya, langkah mengehadkan umur pemilikan media sosial bukan perkara baharu, memandangkan beberapa negara termasuk Australia telah menggunakan pendekatan sama lebih awal.






