SHAH ALAM, 25 NOV: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila tanah runtuh menghempap bahagian dapur rumah mereka dalam kejadian di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, semalam.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor memaklumkan pihaknya menerima laporan pada 6.30 petang, sebelum mengerahkan dua anggotanya bersama tiga petugas Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota membuat pemantauan dan mendapati pergerakan tanah masih berlaku selain cuaca hujan. Turut dikesan satu aliran air di sekitar kawasan tanah runtuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
APM memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) kerana mangsa sudah berpindah ke rumah ahli keluarga berhampiran.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh berasingan turut dilaporkan di Jalan Sungai Buaya, kira-kira 300 meter selepas persimpangan jambatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghala ke Tol Sungai Buaya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan satu lorong ditutup dan kenderaan berat diarahkan menggunakan laluan Tol Bukit Beruntung.




