SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 1 pagi ini.
Daerah terlibat di Selangor ialah Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan, amaran sama turut melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson) serta Johor (Pontian, Kulai, Kota Tinggi, Johor Bahru).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini bersifat jangka pendek dan sah sehingga enam jam untuk setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa memantau keadaan cuaca melalui saluran rasmi MetMalaysia termasuk laman web, media sosial dan aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat.





