SHAH ALAM, 24 NOV: Pelbagai jenis rumah, termasuk yang ditawarkan kepada golongan muda, memudahkan rakyat Selangor membuat pilihan kediaman mengikut kemampuan.
Pekerja swasta Syuhaida Nasiruddin, 39, berkata walaupun rumah ditawarkan pada harga mampu milik, kualitinya tetap terjamin dan pembinaan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.
“Tawaran ini memberi keyakinan untuk anak muda memiliki kediaman sendiri. Kalau nak tunggu pendapatan tinggi, kita tidak tahu bila. Jadi usaha Selangor ini memang membantu,” katanya kepasa Media Selangor.

Sementara itu, pekerja swasta Hariz Manaf, 42, berkata proses pembelian Rumah SelangorKu secara terus dengan pemaju memudahkan urusan dokumen.
“Urusan sangat mudah. Saya pergi kepada pemaju dan mereka uruskan semuanya. Pemaju sangat komited memastikan saya dapat rumah ini.
"Lokasinya strategik di Seksyen 14 Shah Alam, dekat tengah bandar, dan harga kurang RM250,000, sesuai dengan kemampuan saya,” katanya.
Kedua-dua mereka menerima surat tawaran pembelian Rumah SelangorKu daripada EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah, pada majlis perasmian Selangor Property Expo 2025 di Central i-City semalam.

Sejak beberapa tahun lalu, Rumah SelangorKu dibina lengkap dengan kemudahan asas, termasuk pendidikan dan kesihatan, bagi memenuhi keperluan penduduk.
Setakat Oktober, 142 projek Rumah SelangorKu melibatkan 40,737 unit telah siap, manakala 37 projek lagi dengan 10,348 unit sedang dalam pembinaan.
Projek Rumah Idaman oleh anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat kemajuan dengan 6,079 unit siap dan 7,755 unit lagi dalam pembinaan.




