PETALING JAYA, 23 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke tapak penganjuran Car Boot Sale (CBS) Kota Damansara sempena program Ekonomi Lestari di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhammad dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin meluangkan masa kira-kira 30 minit mengunjungi tapak jualan barangan terpakai untuk membeli serta bermesra dengan peniaga serta pengunjung.
Baginda turut berkenan melawat ke Galeri DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Kaunter PJ Eco Plaza, Pameran Anugerah MBPJ dan reruai perkhidmatan yang disediakan khas sempena program Ekonomi Lestari @ CBS Kota Damansara.
Majlis bertambah meriah dengan keberangkatan Tengku Permaisuri yang berkenan menyertai jualan barangan terpakai yang menghimpunkan koleksi pakaian terpakai Baginda, dijual pada harga bermula RM5.

Sementara itu, Mohamad Zahri menyasar menganjurkan program Ekonomi Lestari @ CBS Kota Damansara sebagai acara tahunan dengan pengisian berbeza bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata, program kali kedua itu dianjur sebagai inisatif pulangan kembali kepada masyarakat menggunakan sebahagian daripada hasil kutipan caj beg plastik yang dikenakan kepada pembeli.
“Di sini sudah ada ramai pengunjung terutamanya kerana ada CBS. Tambahan hari ini pula apabila ada Tengku Permaisuri Selangor turut sertai jualan barangan terpakai, lebih ramai yang datang.
“Kita cadang mahu buat secara tahunan, tetapi dari segi pengisian. Kita mahu libatkan semua pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak lain,” katanya kepada Media Selangor.
Untuk rekod, CBS Kota Damansara mula beroperasi pada 2017 dengan 250 petak jualan, dan ditingkatkan kepada 459 petak jualan pada 2022 susulan permintaan tinggi daripada peniaga.









