SHAH ALAM, 23 NOV: Karnival Mega Kitar Semula Shah Alam 2025 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Sambutan Jubli Perak Ke-25 menarik penyertaan 1,000 peserta.
Program yang berlangsung di Dewan Bunga Kemboja (Dewan MBSA), Seksyen U11, di sini semalam membawa tema "Dari Shah Alam Untuk Alam" sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan kitar semula dan gaya hidup lestari.
Inisiatif itu selari dengan komitmen MBSA membentuk komuniti yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, seiring aspirasi bandar raya Shah Alam ke arah Rendah Karbon dan Sifar Sisa menjelang 2030.
Antara pengisian utama karnival ialah aktiviti Recycle Exchange Mega yang memberi peluang kepada orang ramai menukar barangan kitar semula kepada baucar tunai pasar raya dan jenama peruncit berdasarkan berat tertentu.
Peserta juga boleh menjual minyak masak terpakai, barangan sisa elektrik dan elektronik serta pakaian terpakai bagi menerima pulangan tunai atau baucar tunai.
Acara lain dianjurkan termasuk Pertandingan Mencipta Lagu Kitar Semula, Pertandingan Upcycle bahan kaca dan seramik, Pertandingan Fashion Show Kitar Semula, bengkel Upcycle, Eco Free Market, Pocket Talk, aktiviti plogging, senamrobik, jualan kraftangan kitar semula dan hasil kebun komuniti serta pengoperasian Shah Alam on Wheels.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah sempena Kempen Sekolah Lestari Shah Alam (SELESA) dan penyampaian hadiah Kitar Semula Komuniti (KIKOM).
Program turut disertai pempamer daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Tetrapak Malaysia, Nestle Malaysia, Pusat Latihan Rekayu, Seni Jahitan Kreatif Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Wakil Duta Sifar Sisa serta jabatan dalaman MBSA.
Karnival dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.
MBSA menerusi kenyataan berharap penganjuran itu bukan sekadar mengumpul bahan kitar semula, tetapi membentuk budaya baharu dalam kalangan komuniti dengan menjadikan amalan itu sebagai rutin harian.







