SHAH ALAM, 5 JUN: Pengguna jalan raya yang melalui kawasan sekitar Pusat Latihan Selangor FC di sini dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan sementara beberapa laluan sempena Program Hari Rakan Kongsi Selangor FC, esok.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan penutupan jalan akan dilaksanakan bermula 6 pagi hingga 9 pagi bagi melancarkan penganjuran program berkenaan.
Menurut MBSA, penutupan hanya melibatkan laluan sebelah kiri di sepanjang laluan yang telah ditetapkan bagi aktiviti program tersebut.
“Penutupan jalan ini hanya melibatkan laluan sebelah kiri di sepanjang laluan program,” menurut kenyataan menerusi Facebook.

Sehubungan itu, orang ramai disaran menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan atau kelewatan sepanjang tempoh penutupan jalan.
“Kerjasama dan perhatian semua pihak dihargai. Sebarang kesulitan amat dikesali,” menurut MBSA.







