ad

Mangsa banjir di Kelantan meningkat lebih 1,500 orang, Tumpat paling terjejas

23 Nov 2025, 1:30 AM
Mangsa banjir di Kelantan meningkat lebih 1,500 orang, Tumpat paling terjejas

KOTA BHARU, 23 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 1,599 orang daripada 648 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Situasi itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding hanya 836 mangsa yang direkodkan malam tadi, menandakan keadaan banjir masih belum surut di beberapa kawasan.

Ketiga-tiga daerah yang terus terjejas ialah Tumpat, Bachok dan Kota Bharu, dengan jumlah mangsa tertinggi dilaporkan di Tumpat.

Tumpat mencatatkan 629 mangsa daripada 267 keluarga yang kini berlindung di dua PPS.

Bachok pula merekodkan 562 mangsa daripada 174 keluarga yang berada di tiga PPS.

Sementara itu, Kota Bharu menempatkan 402 mangsa daripada 190 keluarga di tujuh PPS yang telah diaktifkan, lapor Berita Harian.

Cuaca tidak menentu dan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dipercayai menjadi punca utama peningkatan mendadak jumlah mangsa.

Pihak berkuasa negeri masih memantau rapi keadaan semasa dan mengingatkan penduduk kawasan berisiko untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Agensi berkaitan turut dikerah untuk menyalurkan bantuan segera di lokasi terjejas, selain memastikan keperluan asas mangsa banjir sentiasa mencukupi.

Orang ramai disaran mengikuti maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan elakkan sebarang aktiviti di kawasan berisiko tinggi banjir.